Wednesday, 7 December 2011

Kelebihan Berzikir~~~

Apabila kita berzikir, mengulangi kalimat-kalimat memuji Allah seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar, secara automatik beberapa kawasan otak yang terlibat semakin aktif, sekali gus menambah tenaga bioelektrik.


Lama kelamaan sekumpulan 14 juta saraf yang membentuk otak kita saling mempengaruhi sekumpulan 16 juta saraf tubuh supaya turut aktif dan saling berinteraksi. Pada masa yang sama, semasa berzikir, otak kita menjadi aktif secara keseluruhan disebabkan semua aktiviti zikir yang kita lakukan tadi natijah daripada aliran interaksi bioelektrik yang tidak terbatas.


Justeru, otak mereka yang selalu berzikir terdorong memahami perkara baru. Mampu melihat dari sudut perspektif berbeza, semakin kreatif dan kritis. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati kita untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.


Dalam satu ujian imbasan mengukur kadar aktiviti otak manusia di Universiti Washington, membuktikan otak mampu bertindak balas apabila diulang ulangi perkataan yang sama, mempamerkan peningkatan aktiviti saraf dan seterusnya merebak ke kawasan lain dan mengaktifkan nya.Penemuan menakjubkan ini dimuatkan dalam majalah Scientific American pada tahun 1993. Tatkala saintis Barat menemui keajaiban ini, kita umat Islam telah lama mengamalkannya dan mendapat manfaat melalui zikir.Sedihnya, masih ramai umat Islam yang masih mengambil ringan dan mengabaikan kepentingan berzikir yang sangat bermanfaat ini.


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 152 menyatakan, "Maka ingatlah kepadaKu supaya Aku ingat pula kepadamu".Teruslah melangkah mengubah sempadan iman... selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah akan mendekati kita..Seseorang yang lidahnya sentiasa basah mengingati Allah mendapat manfaat antaranya:

1. Membersihkan hati daripada sifat mazmumah.

2. Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah.

3. Berasa dekatnya diri dengan Allah sehingga apabila berdepan pelbagai musibah, pergantungannya hanya kepada Allah.

4. Meningkatkan mutu amalan kepada Allah.

5. Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia daripada mengingati Allah.

6. Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah, keluh kesah dan tidak tenteram.


Menghadiri majlis ilmu sama ada kuliah, ceramah, seminar atau bengkel termasuk dalam zikrullah, malah disifatkan Rasulullah sebagai satu daripada taman syurga.


Baginda bersabda diriwayatkan Ibnu Umar yang bermaksud “Apabila kamu melalui taman syurga, maka hendaklah kamu singgah dan ambil perhatian. Sahabat bertanya, apakah taman syurga wahai Rasulullah? Baginda menjawab, ia adalah halaqah (majlis) zikir. Sesungguhnya Allah menghantar utusannya yang terdiri daripada malaikat mencari majlis zikir dan apabila malaikat melihat dan berjumpa dengannya, mereka saling menyebut perkara itu sesama mereka.”


Ulama juga ada membuat perumpamaan bahawa malaikat mencari majlis ilmu seperti seseorang melihat bintang berkelip di langit pada waktu malam. Betapa indahnya melihat bintang bersinar..Pada hari Jumaat yang penuh dengan kelebihan ini marilah kita sama sama memperbanyakkan zikirullah..


"Sesungguhnya (wajib) beruntung bagi mereka yang membersihkan (hati) dan (dengan) berzikir menyebut nama Tuhannya (serta) mendirikan Solat." Al-A'laa 14-15

No comments:

Post a Comment