Tuesday, 26 March 2013

Masalah dan Hukum pemakaian warna pada rambut (HENNA / INAI & DYE)

SOALAN: Pada masa ini telah banyak dijual jenis pewarna rambut yang bertanda halal. Akibat daripada tanda halal tersebut ada di kalangan orang Islam termasuk pelajar telah menggunakan bahan pewarna tersebut dengan tiada keraguan.
 (i) Setakat manakah kehalalan pemakaian bahan pewarna tersebut?
(ii) Apakah ianya tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadas yg menyebabkan solat tidak sah ,..
Jawapan: Perkataan halal pada kebiasaannya adalah digunakan untuk barang makanan termasuklah sumber pendapatan sebagaimana yang biasa disebut iaitu rezeki yang halal. Adapun barang gunaan umpamanya pewarna rambut, minyak rambut dan barang-barang kosmetik, penggunaan perkataan halal itu tidak tepat. Jika tujuan penamaan label HALAL itu adalah untuk membolehkan orang Islam memakai atau menggunakannya, perkataan yang tepat ialah suci bererti tidak najis kerana kita dilarang menggunakan atau memakai barang-barang yang najis. Inilah pemakaian atau penggunaan yang patut diketahui oleh orang-orang Islam. Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi hadas besar dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhunya itu tidak terangkat. Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ianya suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan tersebut adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat. Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tidak menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh. Tambahan lagi, berdasarkan Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Brunei, mereka menyatakan bahawa pewarna rambut (dye) yang sifatnya menghalang air sampai ke rambut adalah tidak boleh dipakai sekalipun ia suci atau menurut istilah setengah negara sebagai HALAL. Selain daripada memerhatikan kepada aspek atau jenis pewarna yang digunakan untuk mewarnakan rambut itu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas serta kesan pemakaiannya yang boleh menyebabkan tidak sah ibadat yang dilakukan sekiranya ibadat tersebut disyaratkan melakukannya dalam keadaan thahârah, adalah penting untuk kita menilai sejauh manakah pandangan syara‘ tentang hukum mewarnakan rambut ini. Mewarna rambut itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu adalah halal ataupun suci. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: “Bahawasanya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan (uban mereka) maka hendaklah kamu tidak menyerupai mereka.” (Hadis riwayat Muslim). Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu) dibawa ke hadapan Baginda pada hari pembukaan Makkah yang mana ketika itu rambut dan janggutnya dipenuhi dengan uban, maka Baginda bersabda: Maksudnya: “Tukarkan (warna uban) ini dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam.” (Hadis riwayat Muslim) Berdasarkan hadis di atas para ulama berpendapat bahawa mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala adalah sunat sama ada lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah kecuali warna hitam, kerana haram menggunakan pewarna hitam menurut pendapat al-ashah. Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan pewarna hitam sekiranya bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihad. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis di atas bahawa tujuan mewarnakan uban itu adalah untuk membezakan kebiasaan kaum Yahudi dan Nasrani yang mana mereka itu meninggalkan perbuatan mewarnakan uban. Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugia ianya dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ia diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan. Akan tetapi jika perbuatan mewarnakan itu dengan bentuk atau gaya sepertimana fesyen dan penampilan orang-orang kafir yang tidak sesuai dengan akhlak Islam sebagaimana yang kita saksikan menjadi ikutan oleh anak-anak Islam, maka perbuatan itu adalah haram sekalipun pewarna yang dipakai itu suci. Dengan melakukan perbuatan itu bererti mengikut budaya orang bukan Islam. Ini adalah perkara yang dilarang oleh hukum syara‘ kerana larangan menyerupai mereka disebut oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda: Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud). Menyerupai mereka dari sudut penampilan zahiriah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu al-Qaiyim al-Jawziyyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ia juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggap ianya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggapnya satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk melakukannya. Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi adat atau kebiasaan kepada dirinya. Dengan itu akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu. Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang kafir itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa tujuan meniru perbuatan mereka itu, demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak ke arah perkara yang membawa kufur. Wal‘iyâdzubillah. Selain daripada itu mewarna rambut khususnya bagi wanita sudah tentu akan membawa kepada pendedahan aurat, kerana tujuan mewarnakan itu sendiri adalah untuk ditonton dan disaksikan. Jika yang menyaksikan itu mahramnya, maka tidaklah haram, tetapi jika bukan, yakni lelaki ajnabiy (asing), maka perbuatan mendedahkan aurat di hadapan orang bukan mahram itu hukumnya adalah haram. Berbalik kepada tanda atau logo halal pada barang gunaan, ia bukanlah suatu jaminan bahawa benda itu boleh dipakai, kerana penipuan boleh saja berlaku, bahkan telah pun banyak berlaku, di mana pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan label halal semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan pengguna. Jika sifat pewarna rambut itu menghalang air sampai ke rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun ia suci. Walaupun ada tertera label halal atau suci, namun apa yang lebih selamat ialah meninggalkannya demi menyelamatkan diri daripada syubhah. Lagipun tidak jelas dari segi keperluan memakainya. Menjauhi perkara syubhah atau samar-samar itu merupakan tuntutan syara‘. Dengan menjauhinya akan terpeliharalah agama. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i) Sabda Baginda lagi: Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 Jalan dan Cara penyelesaiannya bagi yang telah mewarnakan rambut ialah; Gunting Botak andai yg diwarnakan itu pada keseluruhan rambut. P/s:Pakai Inai saja. Diharamkan mewarnakan rambut selagi tidak beruban dan diharamkan juga diwarnakan dengan warna hitam. Yg dibenarkan warna hitam ini hanyalah untuk pejuang Fisabillillah.
 Pendapat Ustaz2 Marcapada.. sila klik link di bawah
https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/posts/407073965977323?ref=notif&notif_t=feed_comment

Monday, 25 March 2013

~ISTIKHARAH~

Setiap Muslim tidak terlepas dari berdoa, tidak kira apa jua bentuk yang dihajatkan, Justeru itu istikharah memainkan peranannya yang tersendiri bagi mengukuhkan lagi hubungan antara hamba dan tuhannya. Cara yang dianjurkan dalam islam untuk beristikharah ini ialah dengan cara solat sunat istikharah dua rakaat dan selepas itu membaca doa istikharah. Meskipun pelbagai artikel dan tulisan tentang solat Istikharah serta persoalan-persoalan berkaitannya bertebaran di sana sini, namun soal jawab tentangnya tetap berterusan. Kali ini cuba kita lihat secara ringkas perihal solat sunat Istikharah itu sendiri. Pertama : Kenapa Perlu Jawabnya, kerana sebagai manusia, kita tidak lepas daripada berdoa. Meminta kepada Allah yang Maha Tahu adalah jalan terbaik bagi kita selaku manusia yang tidak tahu. Pengetahuan kita sangat terbatas, sedangkan pengetahuan Allah Maha Luas. Dia Tahu tentang apa yang sebelum kita, serta apa yang bakal berlaku selepas kita. Termasuklah dalam hal ehwal jodoh serta pasangan kita nanti. Justeru, kita yang tidak tahu ini perlulah meminta pertolongan Allah untuk menunjukkan kepada kita mana yang terbaik, supaya dengan keputusan yang kita buat itu kita tidak akan menyesal di kemudian hari. Kedua : Kaitan dengan HATI Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ? Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan. Ketiga : Perkara yang boleh Istikharah Perkara yang boleh kita Istikharah hanyalah dalam perkara yang harus di sisi Syarak sahaja. Tidak ada istilah Istikharah untuk hal yang telah jelas akan wajib atau haramnya. Umpamanya, nak bayar zakat atau tidak, tidak perlu Istikharah kerana telah jelas wajibnya. Begitu juga dengan bercouple, tidak payah Istikharah kerana telah jelas haramnya. Tetapi dalam hal yang harus, umpamanya untuk memilih antara dua pekerjaan yang sama-sama halal, maka Istikharahlah memohon petunjuk dari Allah. Keempat : Istikharah 50-50 Benda yang telah kita yakin sebenarnya tidak lagi berhajat kepada Istikharah. Ada orang, berdepan dengan dua pilihan iaitu Nora dan Siti. Tetapi dalam hatinya, dia memang telah sukakan Siti dan dia tidak sukakan Nora. Dalam keadaan ini, kalau dia Istikharah sekalipun – dalam keadaan hatinya sudah meletakkan jawapan – Istikharah itu tiada maknanya. Istikharah hanya dalam perkara yang kita benar-benar buntu untuk memilih, antara A dan B keduanya sama berat. Dalam masa yang sama, kita tidak kisah pun kalau mendapat A ataupun B kerana keduanya tidak memberi mudharat kepada hidup kita. Jadi, Istikharah dalam hal itu adalah digalakkan. Kelima : Satu pilihan, Dua pilihan atau Tiga pilihan Ini menjawab persoalan seorang sahabat pengunjung blog saya. Sebenarnya, tidak kisahlah berapa pilihan sekalipun yang ada di hadapan kita, apa yang kita ingin minta adalah pilihan yang terbaik daripada kesemua yang ada.Kata kuncinya di sini adalah PILIHAN. Jika wujud elemen pilihan, wujudlah Isikharah. Jika tidak, bagaimana untuk wujud Istikharah? Mungkin kita perlu memilih antara A, B atau C. Mungkin juga kita perlu memilih antara menerima A atau menolak. Mungkin juga perlu memilih antara membuka ruang untuk lamaran A atau menutup pintu hati untuk kesemua urusan tersebut. Yang penting, kita benar-benar berada dalam persimpangan untuk membuat pilihan antara semua yang ada. Keenam : Istisyarah atau Mesyuarat Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman – sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata- hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya – sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan. Ketujuh : Mimpi Dalam banyak keadaan, ini boleh dikatakan mitos. Dari mulut ke mulut, petunjuk tentang mimpi adalah benda wajib yang akan dikembarkan dengan saranan Istikharah. Sedangkan kita tahu, mimpi juga boleh berlaku ke atas seseorang yang sedang angau. Maka jika si angau ini bermimpi , adakah boleh dengan senangnya dia menganggap mimpi itu petunjuk Istikharah? Tentunya tidak semudah itu. Bagaimana pula jika Istikharah dan bermimpi calon A lalu mahu membuat keputusan, tiba-tiba esoknya termimpi pula calon B? Atau, bagaimana jika dalam satu masa yang sama bermimpi calon A dan B serentak? Maka sebaiknya, jangan gantungkan Istikharah anda itu dengan sebarang mimpi! Begitu juga, Istikharah tidak memerlukan sehingga anda dan calon anda bermimpi perkara yang serupa, barulah dianggap Istikharah anda itu berjaya. Tidak sama sekali. Kelapan : Petunjuk yang bagaimana? Seorang guru saya di Pondok pernah berpesan kepada saya tentang Istikharah. Katanya, ketika fikiran dan hati kita terbeban mahu memilih antara A dan B ( atau lain-lain ) maka hendaklah kita melazimi solat Istikharah. Dalam masa yang sama kita jangan tinggalkan Istisyarah. Antara petanda yang mungkin hadir adalah, ketika kita bangun daripada tidur dan teringatkan tentang perkara yang membebani kita itu ( membuat pilihan ) maka salah satu pilihan tersebut menjadi tenang di hati kita berbanding pilihan yang lagi satu. Ini salah satu petunjuk bahawa pilihan itu adalah yang terbaik untuk kita ikut. Mudahnya, petunjuk itu datang ke dalam hati kita sendiri. Kita sendiri akan merasai perkara tersebut jika kita benar-benar konsisten dengan Istikharah dan Istisyarah. Ia seterusnya akan mencetus keyakinan kepada kita dalam membuat langkah seterusnya tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu. Firman Allah ta’ala : ” Dan apabila kamu telah berazam untuk melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal “ Kesembilan : Was-was itu daripada Syaitan Dalam Fiqh, kalau kita yakin kita masih ada wudhuk dan mahu solat, tetapi tiba-tiba ada semacam bisikan bahawa wudhuk kita sudah batal, maka bisikan tersebut tidak dikira membatalkan keyakinan kita. Kaedah menyebut : Yakin tidak akan gugur kerana Syak. Begitu juga dalam bab Istikharah. Jika sudah yakin dengan pilihan yang kita buat – berdasarkan doa Istikharah kita kepada Allah serta pertimbangan-pertimbangan yang kita buat dengan Istisyarah – maka jangan dilayan lagi bisikan-bisikan umpamanya mungkin akan menyesal, atau nanti begitu atau begini, kerana kesemua itu sebenarnya adalah helah daripada Syaitan. Seorang ulama’ menyebut : Tidak akan menyesal orang yang melakukan solat Istikharah. Kesimpulan Optimislah dengan keputusan sendiri. Belajarlah membuat keputusan dengan yakin. Jangan harapkan anasir lain membuat keputusan untuk anda. Istikharah tidak harus sama sekali diletakkan di tahap itu, kerana ia adalah hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Tetapi meletakkan anasir lain untuk membuat keputusan, umpamanya mengharapkan mimpi tertentu, melihat kepada objek-objek tertentu ataupun nombor-nombor tertentu, kesemua ini akan menjadikan anda seorang manusia yang tiada fungsi. Ia jauh sekali daripada ajaran Islam, apatah lagi hendak dikaitkan dengan solat sunat Istikharah.
Sekian.

Thursday, 30 August 2012

Nasihat bersama~~~

Tengah syok membunyikkan jari-jariku semasa menunggu solat berjemaah di surau, tiba-tiba pak imam tegur aku, suruh aku istighfar n berhenti buat bende tu, later on i discovered this: Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jika kamu berada di dalam masjid, janganlah kamu membunyikan jari-jari kamu kerana kamu seolah-olah berada dalam sembahyang ketika kamu menunggu untuk menunaikan sembahyang. (Riwayat Ibnu Hibban dan terdapat di dalam Sahih al-Targhib, 294). Lagi satu, kajian saintifik juga menunjukkan bahawa perbuatan membunyikan jari atau leher dapat menghancurkan tulang rawan didalamnya, menimbulkan penyakit sendi yg kronik dan melemahkan struktur jari dan leher dalam jangka masa 35-40 tahun akan datang. *Sekadar peringatan, wallhualam

Saturday, 17 March 2012

Penjelasan Terhadap Agama Syiah



Akhir-akhir ini terdapat kecenderungan orang Islam mencemuh dan mengutuk para sahabat Nabi r.hum., bahkan lebih parah lagi melabelkan mereka sebagai munafiq dan kafir. Mereka melontarkan tuduhan bahawa sahabat menyembunyikan fakta-fakta penting agama dan juga menyelewengkan al-Quran. Justeru mereka meragui kebenaran dan kesahihan ajaran Islam yang ada pada hari ini lantaran ianya dibawa oleh sahabat Nabi s.a.w dan sebagai alternatif mereka cuba menampilkan satu bentuk ajaran lain yang kononnya datang dari anak cucu Nabi s.a.w. (Ahlul bait)





Risalah ini bertujuan untuk memberi maklumat dan penjelasan kepada masyarakat mengenai fahaman Syiah* supaya mereka menjauhi dan tidak terpengaruh dengan fahaman tersebut dan bertujuan menyedarkan mereka yang terbabit bahawa pegangan fahaman Syiah adalah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Siapakah Syiah?

Syiah ialah golongan yang mendakwa Sayyidina Ali lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan mengkafirkan sahabat-sahabat yang lain. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syiah daripada golongan-golongan Islam yang lain. Terdapat beberapa banyak aliran di dalam Syiah itu sendiri yang pada dasarnya masing-masing mempunyai konsep yang tersebut di atas. Tetapi aliran-aliran itu berbeza antara satu dengan yang lain kerana wujudnya fahaman-fahaman atau ajaran-ajaran yang saling berbeza. Tetapi tumpuan yang utama akan diberikan kepada Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah* kerana kekeliruan yang timbul di dalam masyarakat sekarang ini ialah berhubung dengan Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah. Syiah inilah yang dipertikaikan oleh para ulama di setiap tempat pada masa ini kerana ramainya bilangan mereka dan kedudukan mereka yang semakin popular terutama selepas tercetusnya revolusi di Iran.





SYIAH IMAMIYYAH ITHNA ASYARIYYAH

Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah ialah Syiah yang mempercayai keimaman dua belas orang imam secara berturut seperti di bawah ini:-

1. Ali bin Abi Talib (wafat 40 H)

2. Hasan bin Ali (wafat 50 H)

3. Husain bin Ali (wafat 61 H)

4. Ali Zainal Abidin bin Husain (wafat 94 H)

5. Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (wafat 117 H)

6. Jafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148 H)

7. Musa al-Kazim bin Jafar as-Sadiq (wafat 183 H)

8. Ali ar-Ridha bin Musa Kazim (wafat 202 H)

9. Muhammad al-Jawaad bin Ali ar-Ridha (wafat 220 H)

10. Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254 H)

11. Hasan bin Ali al-Askari (wafat 260 H)

12. Muhammad bin Hasan al-Askari al-Mahdi (ghaib 260 H)

Mereka percaya Imam Kedua Belas telah ghaib dan ia akan muncul kembali ke dalam masyarakat setelah dunia ini dipenuhi dengan kezaliman dan kekacauan. Mereka juga percaya kepada al-bada, ar-rajah, tahrif al-Quran, (akan dijelaskan secara terperinci di dalam siri-siri selepas ini ), kemurtadan para sahabat termasuk Sayyidina Abu Bakar, Umar, Utsman r.a. dan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang lain, ismah para imam dan lain-lain. Biasa juga Syiah ini disebut sebagai Syiah Imamiyyah atau Jafariyyah sahaja. Syiah ini juga dikenali sebagai Rafidhah kerana fahaman-fahaman dan aqidah-aqidahnya yang melampau.

Di Malaysia, kumpulan Syiah ini dipercayai mula bertapak selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Fahaman Syiah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman Syiah Ja'fariyah secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Pengaruh fahaman Syiah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syiah dan mengharamkannya dari diamalkan di Malaysia.

Antara negeri yang telah mewarta dan mengharamkan Syiah ;

Selangor : 19 Januari 1998 W.Persekutuan : 3 April 1997

Terengganu : 25 September 1997 P. Pinang : 16 Januari 1997

N.Sembilan : 12 Mac 1998 Kelantan : September 1987



BEBERAPA CONTOH PENYELEWENGAN SYIAH

1) Syiah - Al-Quran Sudah Diseleweng. Aqidah Syiah mengatakan bahawa Al-Quran sekarang ini telah diubah, ditokok-tambah dan diselewengkan. Di dalam kitab Al-Fashlu Al-Khitaab at-Thabarsi menukilkan kata -kata Sayyid Ni`matullah al-Jazaairi: "Bahawa tokoh-tokoh Syiah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan al-Quran (An-Nuuri At-Thabarsi, Fashlu al-Khitaab, hal. 30)

AGAMA ISLAM - Tidak perlu dijelaskan hukum meragui kitab suci al-Quran...

2) Syiah - Imam Adalah Maksum. Dinyatakan dalam Kitab `Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 72: Akidah Kami Tentang Imam itu Maksum Kami mempercayai bahawa imam-imam itu seperti nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara daripada sifat-sifat yang buruk dan keji yang nyata dan yang tersembunyi, semenjak daripada kecil sehinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimana mereka juga terpelihara daripada sifat lupa, tersalah dan lain-lain. Khomeini menyatakan:"Kita tidak dapat menggambarkan para imam itu mempunyai sifat lupa dan lalai." (Khomeini, Al-Hukumah Al-Islamiyah, hal. 91)

Bahkan imam-imam dianggap lebih tinggi kedudukannya dari Nabi-nabi a.s. Perkara ini dinyatakan dengan begitu banyak sekali dalam kitab-kitab muktabar Syiah seperti Al-Anwar An-Numaniyah, Al-Kafi dan juga seperti yang disebutkan Khatimatul Muhaddisin (penyudah ahli hadis) di sisi Mulla Baqir Al-Majlisi dalam kitabnya Biharul Anwar jilid 27 hal. 29: Ali bin Hussain a.s. berkata: "Imam-imam boleh menghidupkan orang mati, menyembuhkan penyakit sopak dan buta serta berjalan di atas air, beliau berkata lagi: "Tidak ada sesuatu yang diberikan Allah kepada Nabi-nabi kecuali akan diberikannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta diberikan juga kepadanya sesuatu yang tidak diberikan kepada Nabi-nabi sebelumnya. Dan setiap apa yang diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. pasti akan diberikannya kepada Amirul Mukminin Ali a.s. bahkan kepada Hasan, Hussin a.s. kemudian kepada Imam-imam selepasnya sehingga hari kiamat dengan ditambah ilmu-ilmu yang baru (yang tidak dimiliki oleh Nabi-nabi) pada setiap tahun, pada setiap bulan dan demi Allah pada setiap saat."

AGAMA ISLAM- Jelas terdapat dalam al-Quran dan Hadits-hadits sahih menyatakan bahawa yang maksum hanyalah para rasul dan anbiya' sahaja. Oleh itu dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah, memerlukan kepada dalil-dalil yang qat'ie. Ini dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran seperti berikut yang bermaksud: "Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (sama ada al-Quran dan Hadits) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya." (An-Najm ayat 3 - 4)

3) Syiah - Ilmu Allah Berubah-ubah Mengikut Sesuatu Peristiwa Yang Berlaku Kepada Manusia (al-Bada'). Dari segi bahasa al-Bada' bermaksud lahir sesudah tersembunyi. Menurut akidah Syiah , al-Bada' ialah Allah mengetahui sesuatu perkara setelah berlaku peristiwa berkenaan yang sebelum itu dianggap tersembunyi daripada-Nya. Perkara ini jelas menganggap Allah itu jahil atau tidak mempunyai ilmu yang meliputi. Disebutkan oleh al-Tabatabai dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Kulaini juzu' 1 hal. 146:"AI-Bada" ialah zahir perbuatan yang tersembunyi disebabkan ternyata tersembunyi ilmu kerana adanya maslahah. Kemudian diluaskan penggunaannya, maka kami maksudkan dengan al-Bada' itu ialah lahirnya setiap perbuatan yang sebelumnya itu adalah tersembunyi (daripada Allah S.W.T)".

AGAMA ISLAM -Pendapat yang mengatakan ilmu Allah berubah-ubah mengikut peristiwa yang berlaku kepada manusia adalah bertentangan dengan al-Quran al-Karim yang menyebut bahawa Allah mengetahui secara terperinci dan menyeluruh sepertimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat berikut yang bermaksud: "Allah mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang. Serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin ayat 19). FirmanNya lagi: "Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatupun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit." (Surah A-li Imran ayat 3)

4) Syiah - Taqiyyah (berpura-pura). Dijelaskan dalam buku al-Usul Min al-Kafi, juzu' 2 oleh Abu Ja'far Muhammad bin Ya'kub bin Ishak al-Kulaini al-Razi, hal. 217: Daripada Ibnu Abu Umair daripada Hisham bin Salim daripada. Abu Umar al-A'jami katanya Abu Abdullah a.s. berkata kepadaku "Wahai Abu Umar, Sesungguhnya sembilan persepuluh daripada agama itu terletak pada Taqiyyah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak mempunyai Taqiyyah dan Taqiyyah itu ada pada tiap-tiap sesuatu, kecuali dalam masalah arak dan menyapu dua khuf."

Di tempat yang lain Imam Jaafar As-Sadiq a.s. berkata kepada Sulaiman bin Khalid (perawi hadis): "Wahai Sulaiman! Sesungguhnya engkau berada di atas agama yang sesiapa menyembunyikannya akan dimuliakan oleh Allah dan sesiapa yang menyebarkannya akan dihina oleh Allah." (al-Kafi jilid 2, hal. 222)

Taqiyyah merupakan konsep atau ciri utama yang tidak dapat dipisahkan dari fahaman Syiah



AGAMA ISLAM - . Taqiyyah pada hakikatnya adalah amalan "berdusta dan berbohong". Ulama Islam di zaman lampau tidak mahu menerima riwayat yang dikemukakan oleh Syiah lantaran jelas mereka mengamalkan pembohongan. Sehubungan dengan itu Imam Syafie berkata: "Tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu yang lebih pembohong dari golongan Syiah ." (Al-Kifayah, hal. 49, as-Suyuti, Tadrib Ar-Rawi, jilid 1, hal. 327)

5) Syiah - Mengkafirkan Para Sahabat Rasulullah s.a.w. Perkara ini disebutkan dalam Kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi juz 27, hal 64-66: Kebanyakan para sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq mereka tersembunyi di zaman mereka. Tetapi apabila wafat nabi s.a.w ternyatalah cahaya nifaq mereka itu melalui wasiat nabi dan mereka itu kembali secara mengundur ke belakang, dan kerana ini Saidina Ali berkata; "Semua manusia murtad selepas wafat nabi s.a.w. kecuali empat orang sahaja iaitu Salman, Abu Zar, Miqdad dan Ammar, dan perkara ini tidak ada masalah lagi."

AGAMA ISLAM - Keadilan dan kedudukan para sahabat yang tinggi telah sabit melalui al-Quran sendiri. Mengingkarinya bererti mengingkari al-Quran.

6) Syiah - Menghalalkan Nikah Mut'ah. Iaitu kahwin kontrak tanpa wali dan saksi berdasarkan akad untuk tempoh waktu dan maskahwin tertentu sahaja (mafhum hadis Syiah dalam kitab al-Kafi jilid 5, ms 286). Di dalam riwayat yang lain daripada Abi Jaafar (Muhammad Al-Baqir) berkenaan mut'ah katanya: "Ianya bukan termasuk daripada empat (isteri). Mereka tidak diceraikan dan tidak mewarisi. Mereka hanyalah perempuan yang disewakan." (al-Kafi jilid 5, ms 284) Dinyatakan dalam Kitab Man La Yahduruhu al-Faqih oleh Abu Ja'far Muhammad b. Ali b. al-Husain Babwaih al-Qummi, juzu' 1 hal. 358: Adapun mut'ah maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menghalalkannya dan tidak mengharamkannya sehinggalah baginda wafat. Abu Ja'far al-Baqir meriwayatkan dalam kitab Man La Yahduruhu al-Faqih Oleh Abu Ja'far Muhamad bin Ali bin al-Husain, hal. 358: "Bukan dari kami orang yang tidak mempercayai al-Raj'ah dan tidak menganggap halal mut'ah kita."

AGAMA ISLAM - Nikah Mut'ah telah diharamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w buat selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadits-hadits sahih sebelum baginda wafat dan salah seorang perawi hadits tersebut ialah Saidina Ali sendiri. Antara hadits-hadits tersebut ialah: Daripada Ali bin Abu Talib katanya: "Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang nikah mut'ah pada hari peperangan Khaibar dan melarang juga memakan daging keldai kampung." (Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai)



*Syi`ah ini dianuti secara meluas di Iran dan Iraq. Puak Hizbullah yang kini diangkat sebagai pejuang Islam sebenarnya beragama Syi`ah!

JUGA MAKLUMAT LANJUT BERKENAAN SYIAH DI LAMAN-LAMAN WEB BERIKUT:

http://www.hakekat.com

http://www.syiah.blogspot.com

http://www.darulkautsar.com/pemurnianaqidah/pemurnian_aqidah.htm

http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html

http://www.al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=15664&mode=thread&order=0&thold=0


\\\AMAR MAKRUF, NAHYIL MUNGKAR///